MELAKA: Melaka berpotensi tampil sebagai destinasi rawatan jantung khususnya di selatan negara menerusi gabungan kepakaran Institut Jantung Negara (IJN) dengan Putra Specialist Hospital bermula 1 September ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerjasama tersebut terjalin menerusi memorandum perjanjian (MoA) bagi penyediaan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik.
Katanya, rakyat Melaka, Negeri Sembilan, Johor utara termasuk dari Sumatera, Indonesia akan mendapat akses lebih mudah kepada rawatan jantung bertaraf dunia.
“Komitmen bersepadu ini dapat menterjemah hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai pusat rujukan rawatan kardiologi dan kardiotorasik yang unggul di rantau ini. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sebanyak 1,386 kes penyakit jantung direkodkan di Putra Specialist Hospital.
“Angka-angka ini merupakan isyarat penting bahawa kita perlu memperkukuh jaringan kerjasama, demi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mudah diakses dan diyakini rakyat,” katanya pada Majlis Menandatangani MoA antara IJN dan Putra Specialist Hospital di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Majlis Menandatangani MoA melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka, Mohd. Zahiruddin Ahmad sambal disaksikan Ab. Rauf.
Mohamed Ezani dalam ucapannya berkata, IJN bakal memperkenalkan visiting consultant model di mana Klinik Pakar Kardiologi IJN akan dijalankan seminggu sekali di Putra Specialist Hospital.
Katanya, beberapa langkah telah diambil termasuk menjalankan analisis tapak secara menyeluruh serta kajian kebolehlaksanaan peralatan fasiliti dan infrastruktur yang terdapat di hospital tersebut. – UTUSAN










