KEPALA BATAS: Pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM2 juta dilupuskan oleh Polis Pulau Pinang hari ini dalam operasi khas membabitkan rampasan sepanjang tempoh 14 tahun lalu.
Dadah seberat lebih 120 kilogram (kg) itu dimusnahkan di Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang melibatkan 5,265 kertas siasatan dari tahun 2010 hingga 2024.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, sekiranya kesemua bahan terlarang itu sempat diseludup ke pasaran gelap ia mampu memenuhi keperluan hampir 1.4 juta penagih.
Beliau berkata, proses pelupusan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Kualiti Alam Sdn. Bhd. mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggunakan teknologi khas di lokasi pelupusan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Semua barang kes diperiksa dan disahkan terlebih dahulu sebelum dihantar dengan kawalan ketat oleh pasukan polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Alwi sementara berkata, seramai 14,146 individu telah ditahan antara tempoh bulan Januari hingga Julai tahun ini atas pelbagai kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sementara itu, sebanyak 4,498 kes melibatkan pengedaran dan pemilikan dadah dengan 92.71 peratus daripadanya atau 4,170 kes telah berjaya dituduh di mahkamah setakat ini.
“Selain itu, 7,938 kertas siasatan dibuka juga telah mengikut Seksyen 15(1)(a) manakala 251 individu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39C(1) akta sama,” jelas beliau.-UTUSAN










