PETALING JAYA: Beberapa pegawai polis hadir ke kediaman penyanyi rap, Caprice bagi menyerahkan surat panggil saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan berhubung laporan dibuat selebriti itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan hantaran jelik daripada Caprice pada pukul 5 petang, 31 Julai lalu.
Katanya, pengadu berusia 33 tahun itu mendakwa menerima hantaran berunsur serangan dalam komen, mesej kebencian, tuduhan dan kecaman yang memfitnah watak serta reputasinya.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, pada 21 Ogos (semalam), polis terkesan satu video tular di media sosial berdurasi tiga minit sembilan saat dimuat naik melalui aplikasi Instagram @capricedaddycap memaparkan beberapa orang pegawai polis telah datang ke kediamannya.
“Tindakan itu adalah bertujuan bagi serahkan surat panggil saksi oleh pihak polis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, tular klip video penyanyi itu mendakwa didatangi pegawai polis beruniform manakala dua lagi berpakaian biasa ke pejabat dan kediaman ibu saudaranya.
Susulan itu, Caprice menuntut jawapan daripada polis selain mendakwa cuba menghubungi pegawai terlibat, namun gagal. – UTUSAN










