Felcra agih RM126.91 juta kepada 72,048 peserta 

Felcra agih RM126.91 juta kepada 72,048 peserta 

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyerahkan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2026, FELCRA Berhad kepada wakil Felcra di Stadium Tun Razak Jengka di Bandar Tun Abdul Razak di Maran, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Felcra Berhad mengagihkan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta daripada 747 projek yang mencatat keuntungan di seluruh negara, sekali gus merekodkan agihan interim kedua tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, pembayaran bagi prestasi Januari hingga April tahun ini disalurkan secara berperingkat bermula hari ini.

Katanya, jumlah agihan itu meningkat sebanyak 7.6 peratus berbanding Interim 1 tahun lalu berjumlah RM117.87 juta, sekali gus membuktikan komitmen Felcra untuk terus memberikan pulangan terbaik kepada peserta meskipun industri perladangan berdepan penyusutan harga komoditi utama.

“Agihan ini diharap membantu meringankan beban kewangan peserta terutama bagi menampung keperluan keluarga termasuk kos pendidikan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. 

“Bagi projek kelapa sawit, secara purata peserta menerima kira-kira RM250 seekar sebulan. Ini bermakna bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, peserta memperoleh hampir RM1,000 seekar bergantung kepada keluasan tanah masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pengumuman Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini hari ini.

Mohamed Ismi berkata, pencapaian tersebut direkodkan walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO), buah tandan segar (BTS) dan getah menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, purata harga CPO bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sekitar RM4,357 satu tan metrik berbanding kira-kira RM4,600 satu tan metrik bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pengurangan kos operasi sebanyak 12 peratus berjaya mengimbangi penyusutan harga komoditi sekali gus meningkatkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada peserta.

Beliau berkata, jumlah projek yang mencatat keuntungan turut meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek bagi tempoh sama tahun lalu, manakala bilangan projek yang mengalami kerugian berjaya dikurangkan hasil pemantauan prestasi yang berterusan, pengurusan kos yang lebih berhemat serta kecekapan operasi.

Menurutnya, prestasi itu membuktikan kejayaan pembangunan ladang luar bandar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada turun naik harga pasaran, sebaliknya dipacu oleh disiplin pengurusan, peningkatan produktiviti ladang serta kecekapan operasi.

Mengulas agihan seterusnya, Mohamed Ismi berkata, pembayaran Interim 2 yang meliputi prestasi Mei hingga Ogos dijangka dibuat sekitar November atau Disember ini selepas proses penutupan akaun pada September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN