ALOR GAJAH: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun antara Ogos hingga September 2024.
Tertuduh, Abdul Aziz Yaacub, 59, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memeluk dan memegang kemaluan kanak-kanak itu di sebuah rumah di Taman Kebana Jernih, Kuala Sungai Baru, dalam daerah Alor Gajah pada awal Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama dengan cara memeluk dari belakang dan meraba payu dara mangsa di Jeti Jabatan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru kira-kira pukul 5.30 petang pada awal September 2024.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad yang memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam bela tertuduh, Farid Aziz pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu e-hailing, isterinya berniaga di tepi jalan selain dia menghidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan semula sebutan kes tersebut serta penyerahan dokumen pada 11 Ogos ini. – UTUSAN










