PN cadang JKPK Parlimen panggil Ketua Pengarah MDIO

PN cadang JKPK Parlimen panggil Ketua Pengarah MDIO

IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen (Keselamatan) dicadangkan untuk memanggil Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) untuk memberikan penjelasan dan taklimat tertutup berhubung isu ketirisan di kalangan pegawai kanannya.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, taklimat tertutup itu perlu diberikan kepada wakil kerajaan dan pembangkang pada sidang Parlimen yang sedang berjalan ketika ini bagi pemahaman terperinci lebih jelas mengenai situasi ketirisan yang berlaku.

Katanya, pihaknya melihat perkara ini sangat membimbangkan kerana antara individu ditahan adalah pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab secara langsung dalam usaha kawalan dan pengendalian maklumat risikan secara fizikal mahu pun siber.

“Pegawai-pegawai ATM yang ditahan ini adalah dari Kor Risik atau lebih tepat lagi Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) iaitu salah satu cabang penting ATM dan salah seorang suspek ditahan juga mempunyai pertalian darah dengan bekas Panglima Tentera Darat sebelum ini. 

“Situasi ini amat merunsingkan dan membimbangkan saya dan juga semua pemerhati pertahanan, lalu timbul persoalan apakah kompromi lain juga berlaku bukan hanya menyentuh mengenai maklumat rondaan unit-unit tentera di kawasan selatan tanah air, tetapi juga maklumat penting yang lain berkaitan isu-isu yang lebih runcing.

“Lebih penting adalah isu seperti Laut China Selatan dan aspek kesiagaan tentera dan sebagainya apatah lagi mereka yang ditahan ini disyaki telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan lima individu ditahan termasuk berpangkat Leftenan Kolonel di sekitar Lembah Klang dalam satu operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Op Sohor, kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor.

Siasatan awal mendapati mereka membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok dan lain-lain dari negara jiran ke Malaysia.

Selain lima pegawai kanan ATM, SPRM turut menahan lima orang awam termasuk dua wartawan sebuah portal bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Ikmal Hisham yang juga Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut merakam ucapan tahniah kepada SPRM kerana bertindak tegas dalam pelaksanaan Op Sohor bagi mengekang permasalahan rasuah di kalangan anggota pasukan keselamatan dan pertahanan negara.

Katanya, ia khususnya melibatkan ketirisan maklumat penting seperti jadual rondaan unit-unit tentera untuk membolehkan sindiket penyeludupan melaksanakan aktiviti haram tanpa dikesan di kawasan sempadan negara.

Beliau menuntut untuk penjelasan tindakan risik-balas untuk menutup ketirisan yang telah dilakukan oleh MDIO dan juga Mindef selepas operasi mereka ini terbongkar.

“Saya percaya Panglima Angkatan Tentera (PAT) akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk membersihkan ATM daripada sebarang masalah rasuah yang juga unsur subversif yang boleh mengancam aspek keselamatan dan kedaulatan negara daripada dalam pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×