KOTA BHARU: Harga dadah jenis pil kuda serendah RM5 sebiji menjadi antara punca utama bekas penagih kembali terjerumus meskipun telah menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, selain harga yang murah, bekalan pil kuda yang mudah diperoleh di pasaran turut menjadi faktor utama peningkatan kes penagih berulang di negara ini.
Katanya, bekalan pil kuda yang mudah diperoleh di pasaran turut memainkan peranan utama yang menjadikan penagih itu mengulang kembali perbuatan tidak bermoral itu.
“Penyalahgunaan dadah jenis pil kuda mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak 94 peratus. Data terkini sehingga 15 Ogos lalu mendapati, lebih 50,000 penagih menjalani pemulihan di bawah AADK merangkumi Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti.
“Setakat ini, sebanyak 20 peratus penagih dadah di negara ini dikategorikan sebagai penagih berulang selepas menjalani pemulihan dan rawatan dengan AADK,” katanya dalam sidang akhbar sempena Operasi Perdana AADK di Ibu Pejabat AADK Kelantan, di sini hari ini.
Khairul Anwar berkata, sebanyak 80 peratus lagi peratus penagih yang menjalani rawatan bebas daripada pengaruh dadah dan pelbagai langkah dilakukan pihak berkuasa dalam usaha berterusan memutuskan rantaian penyalahgunaan dadah. – UTUSAN










