MELAKA: Seorang penjaga stor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah menukar 29 kotak produk perubatan pelbagai jenama bernilai RM1,191.50 untuk kegunaan peribadi, bulan lalu.
Tertuduh, Suhazagara Ramli, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Haderiah Siri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia stor di Central Store Mahkota Medical Centre yang diamanahkan dengan kawalan dan penjagaan terhadap barang-barang milik syarikat telah melakukan pecah amanah jenayah dengan cara menukarkan lapan kotak Hypafix 10cmx10cm, 10 kotak KY Jelly Personal Lubricant dan 11 kotak Rightest Glucose Test Trip berjumlah keseluruhan RM1,191.50.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis bernombor, Jalan Merdeka, Costa Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Julai 2025.
Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak mencadangkan sebarang jaminan sementara peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberikan jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan tarikh 30 September depan bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










