PETALING JAYA: TPK Park, dikenali sebagai Taman Perindustrian Kinrara sebelum ini diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai kluster peruncitan rumah dan kediaman terbesar di Malaysia yang terletak dalam taman perindustrian.
Pengarah Urusan TPK Park, Datuk Wong Shung Yen berkata, pengiktirafan ini menjadi tanda kejayaan hasil transformasi selama tiga dekad selepas taman berkenaan berkembang menjadi destinasi peruncitan yang menghimpunkan pelbagai perniagaan berkaitan rumah dan kediaman di bawah satu lokasi.
Katanya, kawasan tersebut meliputi kawasan seluas 96,728 kaki persegi dan terdiri daripada 16 perniagaan merangkumi lapan kategori.
“Antara kategori tersebut ialah perkhidmatan reka bentuk dalaman dan pengubahsuaian, dapur, kabinet, lantai, perabot serta kelengkapan lembut (soft furnishing) katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengiktirafan mencerminkan usaha jangka panjang syarikat dalam membangunkan ekosistem perniagaan yang memberi manfaat kepada penyewa serta pengguna.
“Kluster perniagaan tidak mencapai kejayaan secara kebetulan. Ia dibentuk selama bertahun-tahun melalui perancangan yang teliti, pelaburan jangka panjang serta pemilihan perniagaan yang saling melengkapi secara strategik.
“Selama lebih tiga dekad, fokus kami bukan sekadar menarik penyewa, tetapi membina sebuah ekosistem di mana setiap perniagaan menyumbang kepada kekuatan keseluruhan destinasi ini,” jelasnya.
Menurut Wong, pemilik kediaman memperoleh manfaat apabila perniagaan berkaitan beroperasi di lokasi yang sama kerana ia menawarkan lebih banyak pilihan, memudahkan perbandingan produk serta memberikan akses kepada perkhidmatan yang lebih khusus.
“Kami percaya pengiktirafan ini amat bermakna kerana ia mengiktiraf visi jangka panjang kami serta sumbangan kolektif setiap perniagaan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan TPK Park,” tambah beliau.
Bagi meraikan pencapaian tersebut, TPK Park akan menganjurkan Karnival Rumah Pertengahan Tahun dari 1 hingga 5 Julai. – UTUSAN










