1,000 hari tangisan Gaza

1,000 hari tangisan Gaza

PENDUDUK Gaza melukis mural di atas runtuhan bangunan yang musnah semasa perang, di kem pelarian Shati di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenayah perang tidak berperikemanusiaan yang dilancarkan rejim Zionis terhadap kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023 kini sudah masuk hari yang ke 1,000 namun genosid di wilayah tersebut masih berlangsung.

Setakat semalam, lebih 73,066 orang telah direkodkan terkorban manakala 9,500 lagi masih hilang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat bedilan kira-kira 223,000 tan bahan letupan yang digugurkan tentera Israel sejak 1,000 hari lalu terhadap wilayah seluas 365 kilometer persegi tersebut.

Lebih memilukan, lebih 21,500 kanak-kanak dan 12,500 wanita merupakan korban terbesar dalam kerakusan rejim Zionis menghancurkan tanah Gaza.

Keganasan rejim tanah haram itu juga menghancurkan 90 peratus infrastruktur dan kemudahan di Gaza mengakibatkan 38 hospital dan fasiliti kesihatan di wilayah itu tidak lagi berupaya untuk meneruskan operasi bagi membantu merawat sekitar 173,514 mangsa yang cedera.

Pejabat Media Kerajaan Gaza dalam skenyataan memaklumkan, sebanyak 2.1 juta kes penyakit berjangkit direkodkan di kalangan penduduk setempat akibat dipindahkan secara paksa ke 132,000 khemah daif yang tidak lagi sesuai didiami.

Katanya, sepanjang 1,000 hari menguasai Gaza, rejim Zionis menjadikan kebuluran secara sistematik sebagai senjata terhadap orang awam dengan menutup pintu-pintu sempadan selama lebih 670 hari sekali gus menafikan kemasukan ratusan ribu kontena bantuan kemanusiaan dan makanan.

“Akibatnya, 650,000 kanak-kanak berisiko meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan. Pada masa sama, 58,800 kanak-kanak menjadi yatim selepas kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka dalam tragedi kemanusiaan yang sepatutnya menghayat hati nurani dunia.

“Sepanjang 1,000 hari, tentera Israel cuba memusnahkan masa depan rakyat Palestin dengan menyasarkan semua sekolah sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya. Lebih 620,000 pelajar dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, manakala lebih 20,051 pelajar terbunuh,” katanya hari ini.

Selain itu, setakat hari ini, sebanyak 410,000 bangunan dan unit kediaman dimusnahkan sepenuhnya atau rosak teruk sehingga tidak lagi boleh didiami.

Lebih 5,080 kilometer rangkaian bekalan elektrik turut dimusnahkan. Keterjaminan makanan juga terjejas teruk apabila 87 peratus tanah pertanian musnah. Secara keseluruhannya, kerugian langsung akibat jenayah perang yang disifatkan sebagai genosid dan pembersihan etnik itu dianggarkan melebihi AS$80 bilion.

Menurut kenyataan itu, sepanjang 1,000 hari menjadi mangsa kerakusan Israel, ia kekal menjadi titik hitam dalam sejarah Palestin.

“Kami menyeru masyarakat antarabangsa, semua badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa supaya beralih daripada sekadar mengecam kepada tindakan tegas dengan memberikan tekanan sebenar bagi menghentikan segera serangan ini, membuka semula semua pintu sempadan, serta memastikan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan.

“Kami juga menyeru negara-negara Arab dan Islam supaya segera bermesyuarat bagi menyediakan bantuan kecemasan kepada Gaza serta melaksanakan pelan pembinaan semula yang menyeluruh untuk menyelamatkan sektor kesihatan, pendidikan dan perumahan.

“Kemuliaan dan keabadian buat para syahid.vSemoga semua yang cedera segera sembuh. Kebebasan segera buat semua tahanan. Salam hormat kepada seluruh rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN