JOHOR BAHRU: Seorang pengarah sebuah syarikat di Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu empat individu termasuk rakyat Singapura melibatkan kerugian berjumlah RM155,000, 11 tahun lalu.
Tertuduh, Chong Kok Ming, 54, yang juga penduduk tetap Singapura, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Kok Ming didakwa memperdaya dua individu untuk menyerahkan wang masing-masing RM71,250 dengan mendakwa mereka bakal menerima saham dan dividen tahunan daripada sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Makmur, Batu Pahat pada 15 Oktober 2014.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia dituduh memperdaya dua lagi mangsa berlainan masing-masing berjumlah RM6,250 dengan alasan sama.
Kesalahan itu turut dilakukan di lokasi dan tarikh sama.
Bagi semua kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chan Lee Lee memohon mahkamah mengenakan jaminan RM60,000 untuk semua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam bela, K. Veeranesh memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan, bekerja sebagai pengarah syarikat di Singapura dengan pendapatan kira-kira SGD10,000 sebulan, serta mempunyai dua anak.
Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










