Penganggur didakwa tikam anggota polis

Penganggur didakwa tikam anggota polis

YAP Thye Sun (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menikam seorang anggota polis minggu lalu. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh seorang anggota polis dan memiliki senjata berbahaya dalam kejadian di Wangsa Maju, minggu lalu.

Tertuduh, Yap Thye Sun, 56, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh seorang anggota polis, Koperal Mohd. Nazri Sudiman dengan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan serius dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, 31 Julai lalu.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan pusingan U Jalan Yew, Wangsa Maju, di ibu negara. Sehubungan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Tikaman itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan penetrating abdominal wound with evisceration iaitu usus terkeluar akibat tikaman tersebut yang berisiko menyebabkan kematian. 

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Thye Sun didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau sepanjang 21.5 sentimeter berhulu kayu tanpa alasan yang sah di lokasi dan masa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanaun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif memohon tiada jaminan ditawarkan kerana ia merupkan kesalahan serius.

“Sekiranya mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh, dia berisiko tinggi melarikan diri. Kes ini melibatkan kecederaan serius terhadap seorang anggota polis sehingga usus mangsa terkeluar akibat tikaman,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN