BAGAN SERAI: Hujan lebat kelmarin memberi nafas lega buat penduduk di kawasan sekitar Bukit Merah, namun tetap mengharapkan keadaan itu berpanjangan bagi memulihkan kesan kemarau sejak sebulan lalu.
Penduduk di sini gembira dengan tindakan pembenihan awan yang menyebabkan beberapa kawasan di wilayah utara Perak termasuk Kuala Kangsar dibasahi hujan.
Bagaimanapun tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk tetap mengharapkan usaha pembenihan awan ini berterusan untuk beberapa hari lagi.
Seorang penduduk, Zuki, 59, berkata, hujan berjaya membasahi beberapa kawasan yang telah lama kering namun cuaca yang kembali panas dirasakan akan memadamkan kesan hujan.
“Boleh lihat beberapa kawasan kering di Tasik Bukit Merah ini telah mula berair namun diharapkan ia berterusan.
“Mungkin pembenihan awan dibuat di kawasan yang mengalirkan air sungai ke tasik ini bukan hanya di kawasan tasik ini sahaja,” katanya.
Cuaca panas berterusan menyebabkan Tasik Bukit Merah surut sehingga menyebabkan rumput tumbuh di dasar tasik itu yang kering dan beberapa kawasan yang kering mengalami penyusutan air lebih satu meter.
Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu bersetuju meluluskan anggaran peruntukan RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi mengatasi kekeringan yang sering berlaku sehingga menjejaskan aktiviti pertanian.
Seorang lagi penduduk, Norli, 50, merasakan keadaan akan kembali stabil jika hujan berlaku empat hingga lima hari berturut-turut.
“Semalam hujan, hari ini kembali panas terik. Mungkin perlu hujan setiap hari dalam tempoh seminggu ini,” katanya.
Kawasan Selama iaitu kira-kira 30 kilometer dari Tasik Bukit Merah menjadi antara kawasan di Malaysia merekodkan suhu luar biasa antara 35 hingga 37 darjah Celsius. – UTUSAN










