Fatima Zahra wanita pertama terajui Maghribi

Fatima Zahra wanita pertama terajui Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAGHRIBI mencatat sejarah baharu apabila Fatima Zahra El Mansouri dilantik sebagai wanita pertama menerajui jawatan Perdana Menteri negara itu.

Beliau merupakan wanita ketiga mengetuai kerajaan di dunia Arab selepas Najla Bouden dilantik sebagai Perdana Menteri Tunisia pada Oktober 2021, diikuti Sara Zaafarani (Mac 2025).

Raja Mohammed VI melantik Fatima Zahra, 50, untuk membentuk kerajaan baharu selepas Parti Ketulenan dan Kemuafakatan (PAM) yang berhaluan sederhana memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelantikan itu turut menempatkannya sebagai tokoh wanita yang mencipta sejarah dalam kepimpinan politik dunia Arab.

Beliau bukanlah muka baharu dalam pentadbiran negara itu, sebaliknya sudah beberapa tahun berkhidmat sebagai Datuk Bandar Marrakesh, selain pernah memegang jawatan menteri dalam kerajaan gabungan sebelum ini.

Raja Mohammed VI memilihnya untuk memimpin kerajaan berbanding ketua bola sepak negara, Fouzi Lekjaa, yang juga merupakan tokoh politik utama daripada parti sama.

Maghribi mengamalkan sistem raja berperlembagaan, namun sebahagian besar kuasa masih berada di tangan raja.

Sebelum pelantikannya diumumkan, Fatima Zahra ketika menghadiri sidang media selepas kemenangan partinya ditanya sama ada kerajaan perlu membuat perubahan bagi membolehkan beliau menghadiri upacara keagamaan Islam bersama raja.

Persoalan itu termasuk mengenai kehadiran dalam solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri yang menyaksikan jemaah lelaki dan wanita ditempatkan di bahagian berasingan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab secara langsung persoalan berkenaan, sebaliknya memuji Raja Mohammed VI sebagai ‘pendukung terbesar wanita’ di negara itu.

“Baginda mempunyai kebijaksanaan… Jika saya diberi amanah untuk mengetuai kerajaan, ia akan menjadi satu penghormatan besar,” katanya.

 

BUKAN WANITA BESI
Mengikut Perlembagaan Maghribi, raja melantik ketua kerajaan daripada parti yang memperoleh kedudukan pertama dalam pilihan raya Dewan Perwakilan.

PAM pula dipimpin secara kolektif sejak Februari 2024 dan tidak mempunyai seorang setiausaha agung sebagai ketua tunggal parti.

Selepas keputusan pilihan raya diumumkan minggu lalu, Fatima Zahra berkata, keputusan akhir untuk memilih antara dirinya dan Lekjaa terletak pada Raja Mohammed VI.

Fatima Zahra merupakan antara ahli politik wanita paling dikenali di Maghribi.

Dengan latar belakang pendidikan undang-undang, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Mohammed V di Rabat sebelum meneruskan pendidikan di Perancis dan Amerika Syarikat (AS), dengan pengkhususan dalam undang-undang perniagaan dan korporat.

Beliau mula menceburi politik selepas PAM ditubuhkan pada 2008 dan setahun berikutnya, menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Marrakesh.

Beliau kembali memegang jawatan itu selepas pilihan raya pada 2021.

Dalam tempoh lima tahun lalu, beliau berkhidmat sebagai Menteri Perancangan Wilayah Negara, Perancangan Bandar, Perumahan dan Dasar Bandar di bawah bekas Perdana Menteri Aziz Akhannouch.

Pada Februari 2024, beliau dilantik sebagai penyelaras gabungan kepimpinan PAM.

Beliau bagaimanapun menolak gambaran terhadap dirinya sebagai ‘wanita besi’, ketika ditemu bual majalah PAM pada 2021.

“Saya bukan wanita yang diperbuat daripada keluli atau besi… saya seorang aktivis bebas,” katanya.

Sepanjang kerjaya politiknya, beliau jarang bercakap secara terbuka mengenai hak wanita atau ketidaksamaan gender, meskipun isu berkenaan terus menjadi perdebatan di Maghribi.

Antara isu yang menjadi perbincangan termasuk cadangan mengharamkan poligami serta tuntutan supaya lelaki dan wanita diberikan hak pewarisan yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini