Penambahbaikan skim tarik ramai sertai ATM - Utusan Malaysia

Penambahbaikan skim tarik ramai sertai ATM

MOHD NIZAM JAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diumumkan kerajaan akan menarik lebih ramai warganegara berkelulusan diploma masuk ke dalam pasukan keselamatan itu.

Menerusi penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi, ia juga meningkatkan kualiti sumber manusia ATM.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata , Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan tujuh kelayakan masuk dan penetapan gaji permulaan akan diperincikan melalui surat pelaksanaan yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2026.

“Terdapat 21 kelayakan masuk yang dicadangkan namun hanya tujuh kelayakan masuk diluluskan.

“Alhamdulillah, kami berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju memperluas tujuh kelayakan masuk pelbagai bagi Skim Perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) seperti Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju memperluaskan Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat iaitu Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5) dengan tempoh perkhidmatan yang melayakkan BIPs juga dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun, memberi manfaat kepada 3,789 anggota dengan implikasi RM6.47 juta setahun.

Mohd. Nizam berkata, pemberian BIPs itu dalam bentuk insentif bulanan dengan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pangkat yang disandang.

“Peluasan ini memberikan manfaat kepada Askar-Lasykar ATM dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang singkat (21 Tahun) dan peluang kenaikan pangkat yang terhad.

“Malah, terdapat tiga cadangan penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ATM yang belum mendapat maklum balas iaitu Penggelaran Semula Gred ATM dan Penyelarasan Gred Jusa C bagi Pangkat Brigedier Jeneral Setaraf Berdasarkan Tempoh Sandangan Pangkat.

“Selain itu, syarat pengukuhan pemberian elaun (Para 49) dan syarat umum kelayakan elaun serta pemanjangan inisiatif kemajuan kerjaya bagi ATM,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN