PONTIAN: Barisan Nasional (BN) dijangka akan dapat menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 40 calon BN akan menang dalam PRN Johor kali ini, sekali gus membolehkan mereka meneruskan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, antara sebab kemenangan besar BN adalah kesedaran pengundi yang sudah bijak membuat perbandingan terutama dari segi janji-janji yang diberi oleh parti politik lain.
“Kalau satu parti menjanjikan macam-macam, mereka tak boleh nak kata tak betul sebab dia berjanji dan tak sempat nak tunaikan apa yang dijanjikan.
“Tapi sekarang ini, kita lihat rakyat sudah tahu. Rakyat sudah tahu siapa yang melaksanakan apa yang dijanjikan dan siapa yang berjanji tapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan ziarah dan menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia di Taman Selesa Jaya, Kampung Parit Patah, Pontian, hari ini
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kesedaran pengundi itu turut mempengaruhi golongan muda dalam membuat pilihan.
“Pengundi muda juga akan membuat perbandingan, siapa lebih mereka yakini, yang lebih jujur membuat janji dan siapa yang mampu mentadbir dengan baik.
“Mereka dapat melihat perkara itu dengan jelas dan saya yakin mereka akan memberi kepercayaan kepada BN,” katanya. – UTUSAN










