KUALA LUMPUR: Pasukan pembelan Datuk Seri Ismail Sabri akan memfailkan permohonan bagi mencabar kesahan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta dan lima ketul jongkong emas yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Datuk Amer hamzah Arshad namun beliau enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Buat masa ini, berdasarkan pertuduhan tersebut, terdapat isu-isu undang-undang yang akan kami kemukakan dan sudah tentu kami akan mencabar kewajaran serta kesahan pertuduhan berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas tamat prosiding sebutan kes Ismail Sabri hari ini.
Terdahulu, hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, peguam terbabit memohon agar baki dokumen yang akan digunakan dalam kes berkenaan diserahkan kepada pembelaan sebelum tarikh sebutan akan datang.
Amer Hamzah memaklumkan, pihaknya memerlukan dokumen-dokumen tersebut supaya ia boleh diteliti bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan yang sewajar sebelum tarikh akan datang.
Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen iaitu sebanyak lima jilid yang akan digunakan dalam kes itu pada pagi ini.
Antara dokumen tersebut ialah dokumen sitaan dan dokumen yang mengandungi senarai harta yang telah diisytiharkan oleh Ismail Sabri sebelum ini.
Mahkamah kemudian mengarahkan pendakwaan agar menyerahkan baki dokumen kepada pembelaan sebelum tarikh sebutan akan datang.
“TPR (Timbalan Pendakwa Raya) ambil maklum supaya dokumen diserahkan (kepada pembelaan) sebelum tarikh saya tetapkan. Mahkamah tetapkan 4 Disember untuk sebutan semula,”kata Hakim Suzana.
Pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri mengaku tidak bersalah satu pertuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa wang tunai berjumlah RM14.7 juta, lima kilogram jongkong emas, kepingan perak dan syiling emas.
Wang tunai membabitkan Dollar Singapura SG$1,461,400 (RM5,885,661.28); Swiss-Franc: CHF3,000,000 (RM15,001,831.12); Euro: €12,164,150 (RM57,098,294.81); Yen Jepun : ¥363,000,000 (RM9,183,892.75); Pound Great Britain; GBP50,250 (RM275,053.76); Dollar New Zealand : NZD44,600 (RM106,858.24); Emirati Dirham: AED34,750,000 (RM38,106,597.49) dan Australian Dollar: AUD$352,850 (RM1,020,415.27).
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN











