JOHOR BAHRU: Sebahagian daripada manifesto yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini telah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada 10 tawaran utama yang dibentangkan, tidak ada sesuatu yang baharu yang boleh menjadi satu ‘game changer’ atau pengubah keadaan.
“Saya telah teliti dan didapati sebahagian daripada manifesto itu pun telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor di dalam pentadbiran penggal yang lalu.
“Jadi, ertinya kita menghormati apa yang mereka cadangkan tetapi Alhamdulillah ia telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang lalu dan tidak ada sesuatu yang baru yang boleh menjadi satu ‘game changer’,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini hari ini.
Terdahulu, PH mengumumkan 10 tawaran manifesto antaranya menyediakan perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun, RM500 juta dana anak muda Johor dan 80,000 rumah mampu milik dalam lima tahun.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perbandingan kemajuan ekonomi antara Johor dan Selangor, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perbandingan itu tidak seharusnya dilakukan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi di Johor lebih ke depan bukan sahaja daripada aspek Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) tetapi juga daripada aspek pendapatan yang diperolehi.
“Tidak perlu lakukan perbandingan sebegitu. Johor ini terlalu ke depan bukan sahaja daripada FDI dan DDI, tetapi juga daripada hasil yang diperolehi. Semangat untuk bersaing itu baik, tetapi bersainglah dengan sihat,” katanya.-UTUSAN










