PETALING JAYA: Pemuda Amanah menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan berat terhadap akhbar Sarawak Tribune.
Gesaan itu dibuat susulan penerbitan tajuk akhbar tersebut yang dikategorikan sebagai fitnah terhadap wartawan Al Jazeera, Allahyarham Anas Al-Sharif yang terkorban dalam serangan Zionis di Gaza.
Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar, tajuk berunsur fitnah itu bertentangan dengan etika kewartawanan dan secara sedar menafsir wartawan sebagai ‘militan’.
Beliau berkata, naratif sedemikian sering digunakan oleh rejim Zionis untuk membenarkan tindakan kejam mereka.
“Permohonan maaf Sarawak Tribune juga tidak mencukupi kerana tiada penarikan balik tajuk kontroversi tersebut atau pengakuan penyesalan secara rasmi.
“Dalam edisi sama, akhbar itu turut memberi ruang khusus kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu namun tidak menyentuh dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap pembunuhan puluhan ribu rakyat Palestin dan beberapa wartawan sejak 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mus’ab berkata, akhbar sama juga pernah ditutup kerana menerbitkan kandungan menghina Rasulullah.
“Saya berharap agar insiden terbaharu ini menjadi iktibar kepada tanggungjawab kewartawanan yang sebenar.
“Kebebasan media tidak boleh dijadikan pelindung untuk penyebaran fitnah atau untuk menggagalkan penceritaan kebenaran,” katanya.










