Pharaohs dapat 59 SUV, ganjaran RM6.9 juta

Pharaohs dapat 59 SUV, ganjaran RM6.9 juta

PEMAIN Mesir melambai ke arah ribuan penyokong ketika menaiki bas terbuka sebaik tiba di Stadium Kaherah, semalam, sebagai meraikan kejayaan bersejarah skuad The Pharaohs mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 buat kali pertama. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Kejayaan bersejarah Mesir melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 terus diraikan apabila bilionair Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khalaf Al Habtoor menghadiahkan 59 kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu kepada pemain serta barisan pegawai skuad The Pharaohs.

Ganjaran bernilai hampir AS$1.7 juta (RM6.93 juta) itu melibatkan keseluruhan delegasi Mesir yang terdiri daripada pemain, jurulatih, pegawai teknikal, pentadbiran dan perubatan sebagai penghargaan atas pencapaian terbaik negara itu di pentas Piala Dunia.

Jurucakap Al Habtoor Group memaklumkan semua kenderaan jenis Mitsubishi Eclipse Cross sedang disiapkan sebelum diserahkan menerusi Persatuan Bola Sepak Mesir, dengan setiap unit dianggarkan bernilai AS$29,000 (RM118,314).

“Kegembiraan Mesir hari ini adalah kegembiraan seluruh dunia Arab,” kata Al Habtoor menerusi platform X selepas Mesir tersingkir secara dramatik 2-3 kepada juara bertahan, Argentina pada pusingan 16 terbaik, 7 Julai lalu.

Mesir hampir mencipta kejutan apabila mendahului 2-0 sehingga penghujung perlawanan, namun Lionel Messi mengetuai kebangkitan Argentina menerusi tiga gol dalam tempoh hanya 13 minit untuk menempah tiket ke suku akhir.

Menurut Al Habtoor, hadiah itu diberikan kepada keseluruhan kontinjen kerana kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada pemain, sebaliknya hasil sumbangan semua individu di belakang tabir.

Penghargaan terhadap skuad The Pharaohs turut dizahirkan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang memuji semangat juang Mesir kerana mampu memberi tentangan hebat kepada juara dunia sehingga wisel penamat.

Mesir melakar sejarah pada Piala Dunia 2026 apabila mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama selepas seri dengan Belgium dan Iran, menewaskan New Zealand di peringkat kumpulan serta menyingkirkan Australia menerusi penentuan penalti sebelum perjalanan mereka dihentikan Argentina.

Kepulangan skuad itu ke tanah air pada 10 Julai disambut meriah dengan perarakan bas terbuka di El Alamein, manakala Presiden Mesir, Abdel Fattah El Sisi turut mengurniakan Order of Merit kepada setiap pemain dan anggota kontinjen sebagai tanda penghargaan atas pencapaian bersejarah tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN