Orang yang paling kuat semangat adalah abang Saddiq sendiri - Didi Astilalh - Utusan Malaysia

Orang yang paling kuat semangat adalah abang Saddiq sendiri – Didi Astilalh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyanyi dan adik kepada selebriti Bella Astillah, Didi Astillah mengakui tersentuh melihat kegembiraan yang terpancar pada seluruh wajah ahli keluarga selepas bakal abang iparnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya semalam.

Menurut Didi, keputusan berkenaan membawa kelegaan kepada keluarga dan mereka yang selama ini bersama-sama memberikan sokongan kepada Syed Saddiq sepanjang melalui proses perundangan yang panjang.

“Alhamdulillah, seperti yang kita tahu kes ini sudah berjalan dalam tempoh yang sangat lama. Hari ini kami berasa sangat tersentuh dan terharu, selain sangat gembira dengan keputusan yang diperoleh.

“Saya dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah setiap ahli keluarga. Itu perkara paling utama yang perlu diketengahkan kerana ada ibu yang gembira, rakan-rakan yang mungkin berjuang bersama-sama juga gembira dan ahli keluarga lain turut berkongsi perasaan sama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Istana Kehakiman, semalam.

Didi berkata, pengalaman mengikuti sendiri prosiding di dalam mahkamah merupakan sesuatu yang baharu buat dirinya dan keluarga.

Katanya, suasana penuh emosi dapat dirasakan selepas keputusan diumumkan apabila hampir semua yang berada di dalam mahkamah menitiskan air mata kegembiraan.

“Sebenarnya, ini kali pertama saya melihat kes seperti ini dan masuk sendiri ke dalam mahkamah untuk mendengar prosiding. Bagi saya dan keluarga, pengalaman ini merupakan sesuatu yang baharu.

“Hampir semua orang yang berada di dalam tadi menitiskan air mata. Apa yang boleh saya katakan, kami sangat terharu dan gembira. Alhamdulillah,” katanya.

Mengulas perjalanan kes berkenaan, Didi berkata, walaupun tidak mengikuti proses tersebut sejak awal, dia mengetahui perjalanan yang dilalui Syed Saddiq dan keluarganya bukan sesuatu yang mudah.

Malah, katanya, dia bersama keluarganya pernah hadir ke mahkamah sejak tahun lalu bagi memberikan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar itu dan keluarganya.

“Walaupun saya tidak mengikuti perkara ini sejak awal, saya tahu perjalanan yang dilalui agak sukar. Sejak tahun lalu, kami juga pernah datang ke mahkamah dan menemani mereka untuk memberikan sokongan.

“Saya dan keluarga berada di sini kerana mahu memberikan sokongan. Abang Saddiq dan keluarganya juga sering menyebut saya dan keluarga, jadi kami saling memberikan sokongan terutama ketika berhadapan perkara seperti ini.

“Alhamdulillah, keputusan yang positif dan baik telah diperoleh, iaitu keputusan yang diinginkan oleh semua pihak. saya hanya berasa sangat gembira,” katanya.

Dalam pada itu, Didi percaya doa dan sokongan orang ramai turut menjadi sumber kekuatan kepada Syed Saddiq sepanjang berdepan proses perundangan berkenaan.

Katanya, ramai pihak termasuk peminat sentiasa mendoakan perkara yang baik-baik, selain memberikan kata-kata semangat serta harapan positif.

“Sangat ramai yang mendoakan perkara yang baik-baik, memberikan semangat dan menyampaikan harapan serta kata-kata positif. Daripada apa yang saya lihat, semua sokongan itu datang daripada para peminat mereka.

“Namun, orang yang saya lihat paling kuat semangatnya ialah Abang Saddiq sendiri. Saya dapat melihat ketabahan dan semangatnya sepanjang melalui perjalanan ini,” katanya.

Didi turut berpandangan keputusan berkenaan mungkin merupakan balasan terhadap kebaikan yang dilakukan Syed Saddiq kepada orang di sekelilingnya selama ini.

“Mustahil untuk saya mengatakan tidak. Berdasarkan apa yang saya tahu dan sepanjang mengenali Abang Saddiq, dia seorang yang menghormati orang tua, sentiasa melakukan kebaikan dan memberikan tenaga serta pengaruh positif kepada orang di sekelilingnya.

“Saya rasa setiap kebaikan yang dilakukannya mungkin mendapat balasan melalui apa yang berlaku kepadanya. Hari ini, dia menerima kembali balasan tersebut dalam bentuk yang baik. Alhamdulillah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN