Pemandu lori tak mengaku cuba bunuh polis - Utusan Malaysia

Pemandu lori tak mengaku cuba bunuh polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan melanggar mangsa menggunakan kenderaan pacuan empat roda, Jumaat lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Farhan Baharudin, 34, didakwa cuba membunuh Koperal Mohamad Sallehin Ab. Rahman, 35, dengan melanggar mangsa menggunakan kereta Ford Ranger sehingga anggota polis itu  mengalami kecederaan yang mana perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.05 pagi, 8 Ogos lalu di simpang keluar Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala ke Jalan Tun Razak di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau penjara maksimum 20 tahun sekiranya berlaku kecederaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Peguam bela, Mohd. Fikah Sanusi yang mewakili Muhammad Farhan memohon jumlah ikat jamin yang rendah kerana anak guamnya hanya seorang pemandu lori dengan berpendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung isteri, seorang anak berumur enam tahun serta ayahnya yang sakit.

Hakim Izralizam Sanusi menetapkan jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 6 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN