Pemandu e-hailing didakwa bunuh anak

Pemandu e-hailing didakwa bunuh anak

M. ARUNKUMAR dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu hari ini bagi didakwa atas pertuduhan membunuh anak lelakinya di Rompin, Jempol bulan lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya di Rompin, Jempol, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Arunkumar, 36, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, dia dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya Tishant berusia enam tahun.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan Kilometer 25, Jalan Rompin-Bahau di Jempol pada 23 Julai lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan sehingga 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret, Norshazwani Ishak kemudiannya menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.

Pada 28 Julai lalu, media melaporkan mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di Rompin Jempol. Kanak-kanak berusia enam tahun tersebut itu dilaporkan hilang empat hari sebelum itu di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor.

Hasil bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki berkenaan mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan di leher akibat jerutan pengikat kabel.

Bala kanak-kanak itu telah ditahan selepas membuat laporan kehilangan anaknya pada 24 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN