Pegawai ditahan tidak cermin keseluruhan institusi pertahanan

Pegawai ATM ditahan SPRM tidak cermin keseluruhan institusi pertahanan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih disegani serta diyakini rakyat untuk memelihara kedaulatan negara meskipun beberapa anggotanya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penahanan itu tidak mencerminkan keseluruhan institusi pertahanan negara.

“Insiden-insiden membabitkan penahanan dan sebagainya yang menjejaskan integriti dan maruah angkatan tentera kita dan juga Kementerian (perlu dielakkan). 

 “Jika benar didapati bersalah, ia sememangnya satu perkara yang mencemarkan imej ATM,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025 Peringkat Kementerian di sini hari ini. 

Beliau turut berharap warga ATM tidak menyalahgunakan pangkat atau kedudukan yang diamanahkan untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang atau tidak diingini.

“Saya ingin menegaskan bahawa kes ini (penahan anggota ATM) tidak mencerminkan keseluruhan ATM.

“ATM masih hebat dan ATM masih disegani serta diyakini rakyat untuk memelihara kedaulatan negara,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan lima pegawai kanan ATM ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyeludupan di selatan tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN