AS, Australia gusar China uji peluru berpandu di Pasifik

AS, Australia gusar China uji peluru berpandu di Pasifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Australian menyuarakan kebimbangan terhadap program nuklear China selepas Beijing melancarkan ujian kepala peledak tiruan ke Lautan Pasifik, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat pemodenan ketenteraannya.

Ujian itu dilakukan dua tahun selepas China melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) ke perairan berhampiran Polinesia Perancis, merupakan pelancaran pertama seumpamanya merentasi perairan antarabangsa dalam tempoh lebih 40 tahun.

Penganalisis berkata, ujian berkenaan menunjukkan peningkatan keupayaan China untuk melancarkan serangan ke AS, yang masih menganggap kuasa Asia itu sebagai pencabar utama, meskipun kedua-dua negara sedang berusaha memperbaiki hubungan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Pada ketika AS berusaha lebih keras berbanding sebelum ini untuk menghalang percambahan senjata nuklear, China pula melakukan sebaliknya.

“Pengembangan pantas dan kurang telus dalam pembangunan senjata nuklear Beijing menimbulkan kebimbangan besar kepada rantau ini dan dunia,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott dalam kenyataan.

Februari lalu, AS membiarkan Perjanjian New START, iaitu perjanjian kawalan senjata utama terakhir dengan Russia, tamat tempoh selepas menegaskan keperluan untuk mencapai perjanjian baharu yang turut melibatkan China.

Bagaimanapun, usaha rundingan itu ditolak oleh China, yang memiliki jumlah senjata nuklear jauh lebih kecil berbanding Russia tetapi sedang meningkatkan arsenal nuklearnya dengan pantas.

Jabatan Negara AS menggesa China supaya terlibat dalam perbincangan kawalan senjata serta memberi komitmen terhadap mekanisme pemberitahuan secara berkala bagi semua pelancaran peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran angkasa lepas.

New Zealand berkata ujian itu berlaku kira-kira dua jam selepas China memaklumkan negara-negara Pasifik mengenai pelancaran peluru berpandu berkenaan, namun tidak dapat dipastikan sama ada Beijing turut memberikan notis kepada AS.

Jurucakap tentera laut China, Wang Xuemeng, dalam kenyataan yang dikongsi melalui WeChat, berkata ujian pelancaran itu merupakan aktiviti rutin dalam latihan ketenteraan tahunan China dan negara berkaitan telah dimaklumkan terlebih dahulu.

Pemantau berkata roket yang dilancarkan daripada kapal selam berkuasa nuklear itu dipercayai jatuh kira-kira 1,000 kilometer di timur laut Kepulauan Solomon, sebuah negara Pasifik Selatan yang memeterai perjanjian keselamatan sulit dengan China pada 2022, yang kini sedang dikaji semula oleh kerajaan baharu.

Filipina, yang berulang kali berdepan pertikaian dengan China berhubung wilayah di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, mengecam ujian itu sebagai pertunjukan kuasa ketenteraan yang tidak bertanggungjawab.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN