KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mempertimbangkan penetapan hari mengundi yang lebih sesuai bagi menggalakkan lebih ramai pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa tidak sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya NegerI (PRN) Johor pada hari Sabtu susulan terdapat pengundi yang bekerja pada hari tersebut.
Beliau berkata, walaupun SPR merupakan badan bebas yang mempunyai kuasa menentukan tarikh pilihan raya, pandangan peribadinya adalah hari mengundi sebaiknya diadakan pada Ahad bagi memberi ruang lebih luas kepada rakyat untuk pulang mengundi.
“Saya berpendapat SPR sebagai badan bebas harus lebih teliti supaya pilihan raya itu mengikut garis demokrasi, dengan ruang masa yang secukupnya dan hari mengundi boleh menggalakkan orang ramai balik mengundi. Itu saja pandangan kita.
“Contohnya, mereka yang bekerja di Singapura itu ramai dan hari Sabtu ada yang bekerja separuh hari. Jadi sebaiknya hari Ahad, tetapi SPR ialah badan bebas.
“Namun, keputusan dibuat pada hari Sabtu. Itu keputusan mereka. Pandangan peribadi saya, saya kurang setuju kerana saya rasa apa sahaja yang boleh dilakukan untuk menggalakkan orang datang mengundi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang menyatakan apakah tindakan yang boleh dikenakan terhadap media yang menghasilkan laporan yang didakwa tidak tepat atau tersasar daripada maksud sebenar yang mendakwa PRN Johor diadakan lebih awal bertujuan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Anwar menegaskan teguran yang dibuat terhadap SPR bukan bermaksud campur tangan terhadap badan berkenaan.
“Kalau saya campur tangan, lain keadaannya. Tetapi ini adalah pandangan dan teguran saya dari segi usaha menggalakkan lebih ramai rakyat keluar mengundi,” katanya. – UTUSAN










