PDBP pastikan penduduk pedalaman nikmati harga sama

PDBP pastikan penduduk pedalaman nikmati harga sama

FUZIAH Salleh (dua dari kanan) bersama pegawai penguatkuasa memeriksa barangan PDBP di Pulau Sebatik, Tawau, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu (PDBP) memastikan rakyat di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak terus menikmati akses barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, sebanyak RM220 juta diperuntukkan setiap tahun dengan RM100 juta daripadanya disalurkan khusus untuk Sabah.

“Bagi tempoh Mei 2025 hingga April 2027, kita telah melantik pengangkut baharu untuk kontrak dua tahun, melibatkan peruntukan RM202.5 juta bagi Sabah, termasuk RM8 juta khusus untuk daerah Tawau,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pulau Sebatik dekat sini, semalam.

Fuziah berkata, Sabah mencatatkan 228 kawasan pengedaran dengan 607 pusat penjualan (POS) manakala di Tawau sahaja mempunyai 40 POS melibatkan empat zon utama iaitu Sebatik, Balung, Kalabakan dan Apas.

Beliau berkata, lebih 492,000 penduduk di seluruh Sabah menerima manfaat, termasuk lebih 29,000 di Tawau.

Katanya, ketersediaan barangan ini membolehkan penduduk di kawasan pedalaman menikmati harga yang sama seperti di bandar seperti gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM26.60 setong.

“Tanpa program ini, kos pengangkutan akan dibebankan kepada pengguna dan menyebabkan harga melambung. Dengan PDBP, kerajaan menanggung kos logistik agar tiada perbezaan harga antara bandar dan pedalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN