PETALING JAYA: Pasukan besbol lelaki negara kini giat menjalani persiapan rapi menjelang temasya Sukan SEA yang bakal berlangsung di Thailand pada Disember ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penaung Diraja Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) berkenan berangkat ke Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang bagi memberi semangat baharu menjelang Sukan SEA Thailand 2025.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar skuad besbol negara dapat menimba ilmu dan pengalaman berharga sepanjang berada di Taiwan, seterusnya menterjemahkannya dengan aksi cemerlang di pentas Sukan SEA di Bangkok nanti.
“Setiap titik peluh, pengorbanan dan kerja keras pada hari ini bakal menjadi sumber kekuatan di masa hadapan. No Pain, No Gain! Teruslah berjuang dengan sepenuh jiwa, demi maruah pasukan dan kejayaan negara tercinta”,” titah baginda.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi BFM, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Presiden BFM, Sazali Husain.
Sebagai sebahagian daripada persiapan intensif, skuad negara dijadualkan berlepas ke Taipei, Taiwan untuk mengikuti program latihan bersepadu selama seminggu bersama jurulatih profesional.
BFM kekal komited memperkasakan pembangunan bakat sukan besbol tanah air serta menyediakan platform terbaik demi memastikan Malaysia mampu muncul sebagai pencabar dan bersaing di peringkat tertinggi.-UTUSAN










