KUANTAN: Pasaran telur kekal stabil tanpa gangguan bekalan walaupun kerajaan menamatkan subsidi sepenuhnya bermula 1 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pemantauan harian mendapati bekalan telur mencukupi di pasaran manakala harga runcit masih terkawal di bawah mekanisme harga siling.
Kata beliau, sehingga kini kementerian tidak menerima aduan kekurangan bekalan dan kenaikan harga juga dilihat tidak signifikan.
“Setakat ini kita tidak ada (terima) aduan berkenaan kekurangan telur, tidak ada aduan lagi, kita memantau setiap hari sejak 1 Ogos selepas subsidi telur itu ditamatkan. Kita juga ada lagi harga siling untuk telur, setakat ini kita tidak lihat ada masalah bekalan.
“Kenaikan harga pun kita pantau, kalau ada pun masalah bekalan, mungkin bersifat setempat, tapi kalau ada (masalah) sila laporkan segera kepada kementerian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Komuniti Madani Parlimen Kuantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Fuziah berkata, kementeriannya turut membuat persiapan menghadapi pelaksanaan penebusan Subsidi Asas Rakyat Malaysia (Sara) Rahmah yang bakal memanfaatkan 22 juta penerima bermula esok.
Menurutnya, Kementerian Kewangan (MoF) telah diminta menambah bilangan terminal khas bagi melancarkan urusan tebus subsidi di pasar raya seluruh negara.
“Sebelum ini ada kira-kira 4,000 terminal Sara disediakan MoF dan kita sudah minta tambahan sehingga 7,000 terminal di seluruh negara. Kita harap ia dapat diuruskan segera oleh pihak MoF dengan kerjasama pasar raya berkaitan juga,” ujarnya. – UTUSAN










