KUALA LUMPUR: Sebahagian besar kes yang dirawat di hospital sebenarnya boleh diuruskan dengan berkesan di klinik penjagaan primer, sekali gus mengurangkan beban penggunaan perkhidmatan hospital yang tidak diperlukan.
Sehubungan itu, pengawalan kos penjagaan kesihatan perlu bermula dengan memperkukuh peranan penjagaan primer (GP) sebagai ‘gatekeeper’ atau penyaring utama pesakit.
Setiausaha Agung Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Anwar Anis, berkata pendekatan itu lebih berkesan dalam menangani punca sebenar inflasi perubatan berbanding hanya memfokuskan kawalan kos di hospital.
Beliau berkata, banyak kes yang kini dirawat di hospital swasta sebenarnya boleh diuruskan di klinik GP, sekali gus mengelakkan penggunaan perkhidmatan hospital secara berlebihan yang meningkatkan kos keseluruhan sistem kesihatan.
“Intervensi kerajaan perlu turut melibatkan penjagaan primer kerana banyak kes yang dirawat di hospital tidak memerlukan rawatan di peringkat hospital dan boleh diuruskan oleh GP,” katanya ketika berucap pada Bursa–HLIB Stratum Focus Series XXI bertajuk “Peluang dan Cabaran yang Dihadapi oleh Hospital Swasta” di sini, semalam.
Menurut Anwar, statistik Bank Dunia menunjukkan ramai pesakit mendapatkan rawatan di hospital sekunder dan tertiari walaupun penyakit mereka sesuai dirawat di peringkat penjagaan primer.
“Keadaan itu menyumbang kepada penggunaan perkhidmatan hospital secara berlebihan, sekali gus meningkatkan inflasi kos penjagaan kesihatan tanpa menangani faktor asas yang mendorong kenaikan tersebut,” katanya.
Mengulas trend inflasi perubatan, Anwar berkata, kira-kira 70 peratus peningkatan kos adalah berpunca daripada pertambahan penggunaan perkhidmatan kesihatan, manakala hanya 30 peratus disebabkan kenaikan harga rawatan.
Katanya, peningkatan permintaan itu didorong oleh faktor penuaan penduduk, pertambahan penyakit tidak berjangkit (NCD), lonjakan permintaan selepas pandemik Covid-19 serta tekanan terhadap sistem kesihatan awam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata hospital swasta turut berdepan kekangan tenaga kerja apabila kekurangan jururawat menghalang pengoperasian kapasiti katil secara optimum, sekali gus mengehadkan potensi pertumbuhan sektor itu.
Pada masa sama, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih diperibadikan semakin meningkat, namun kos penyediaannya jauh lebih tinggi dan memerlukan mekanisme pembiayaan yang mampan.
Menyentuh pembaharuan sistem kesihatan, Anwar berkata kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan ketelusan harga, pendigitalan sistem kesihatan, pelaksanaan Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) serta sistem pembayaran Diagnosis Related Groups (DRG).
“Projek perintis Pelan Asas MHIT akan dimulakan dalam masa terdekat melibatkan beberapa hospital bersama tiga syarikat insurans dan tiga pengendali takaful sebelum pelaksanaan penuh dijangka bermula pada Januari tahun depan.
“Pada peringkat awal, sistem pembayaran DRG hanya akan digunakan bagi Pelan Asas MHIT, manakala polisi insurans kesihatan sedia ada tidak tertakluk kepada mekanisme baharu itu,” katanya.
Mengulas prospek industri, Anwar berkata, sektor pelancongan perubatan masih mempunyai potensi pertumbuhan, namun kekal terdedah kepada risiko kerana bergantung kepada pesakit dari Indonesia selain dipengaruhi faktor seperti kadar pertukaran asing, kos penerbangan, cukai dan kos penginapan.
“Meskipun sektor penjagaan kesihatan swasta dijangka terus berkembang didorong penuaan penduduk, peningkatan penyakit kronik dan penggunaan teknologi, dasar yang diperkenalkan perlu memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang tidak perlu bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal kukuh,” katanya. – UTUSAN










