Tahap kecergasan Salah masih diragui

Tahap kecergasan Salah masih diragui

Hossam Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON: Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan menyatakan keraguan sama ada bintang pasukannya, Mohamed Salah akan disenaraikan dalam kesebelasan utama menjelang aksi pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 menentang Australia di Texas, esok, selepas mengalami kecederaan hamstring.

Salah, 34, yang juga bekas pemain Liverpool mengalami kecederaan tersebut ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Iran yang berkesudahan 1-1 apabila dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-57.

Dalam sesi latihan di Dallas semalam, Salah dilihat menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan namun masih belum mencapai tahap kecergasan penuh.

Menurut Hossam Hassan, pemain itu hanya diberi latihan separa dan pihak kejurulatihan tidak mahu mengambil risiko terhadap tahap kecergasannya.

“Kami hanya cuba memasukkannya ke dalam latihan separa semalam sahaja. Dia sangat berharap dapat memberikan sumbangan esok.

“Namun saya tidak akan mengambil risiko kecuali 100 peratus yakin dia benar-benar cergas dan bersedia. Saya juga tidak pasti sama ada dia akan berada dalam kesebelasan utama,” katanya

Mesir sebelum ini mencatat sejarah tersendiri apabila meraih kemenangan pertama mereka di Piala Dunia dengan menewaskan New Zealand 3-1 pada peringkat kumpulan.

Mengulas pertemuan dengan Australia, Hassan mengakui pasukannya perlu berhati-hati terhadap ancaman bola mati serta kekuatan fizikal lawan.

“Kami bersedia menghadapi apa sahaja cabaran. Kami telah bekerja keras lebih dua tahun untuk membentuk identiti permainan kami.

“Ia bukan bergantung kepada seorang pemain, sebaliknya usaha kolektif. Kami mahu memberi kegembiraan kepada rakyat Mesir, Afrika dan dunia Arab,” katanya.

Mesir merupakan kuasa besar bola sepak Afrika dengan rekod tujuh kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika, masih memburu impak lebih besar di pentas Piala Dunia selepas tiga penyertaan terdahulu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN