NARATHIWAT (THAILAND): Pasukan keselamatan Thailand menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kejadian letupan bom di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, yang mencederakan dua rakyat Malaysia, Isnin lalu.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan pukul 3.40 petang kelmarin menerusi operasi bersepadu membabitkan tiga agensi penguat kuasa di sebuah rumah di Mukim Phai Wan, Tak Bai.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penahanan itu hasil maklumat risikan yang membawa kepada tangkapan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut sebaik sahaja suspek ditahan membawa kepada penemuan lebih 10 jam tangan, sejumlah besar serpihan paip ekzos motosikal dan beberapa peralatan lain yang mencurigakan.
“Suspek dibawa untuk siasatan lanjut di Kem Rejimen Renjer ke-46 di Daerah Mueang Narathiwat selepas pihak berkuasa mendapati terdapat barangan dalam jumlah luar biasa yang tidak selari dengan keadaan penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sumber berkata, suspek hanya dibebaskan sekiranya siasatan lanjut mendapati tiada penglibatan dalam insiden berkenaan.
Isnin lalu dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom. – UTUSAN







