Sektor pelancongan Narathiwat rugi RM64.8 juta

Sektor pelancongan Narathiwat rugi RM64.8 juta

SHUMERTHON menjadi salah satu tarikan pelancong Malaysia setiap kali berkunjung ke Narathiwat, Thailand. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sek­tor pelancongan Wilayah Nar­athiwat berdepan kerugian RM64.8 juta dalam tempoh sebulan susulan insiden pengeboman yang mencederakan dua pelancong Malaysia di Daerah Tak Bai di sini, Isnin lalu.

Presiden Persatuan Perniagaan Pelancongan Narathiwat, Niwat Chiravich berkata, rakyat Malaysia adalah pasaran utama bagi sektor ekonomi dan pelancongan di sini termasuk Pattani dan Yala.

Katanya, setiap bulan dianggarkan sehingga 55,000 rakyat Malaysia melancong, bermalam serta berbelanja di beberapa tempat menarik di Wilayah Narathiwat, terutama pada cuti hujung minggu.

“Purata perbelanjaan rakyat Malaysia untuk lawatan sehari dan membeli-belah, antara RM150 hingga RM250 seorang.

“Jika mereka tinggal antara dua dan tiga hari, purata perbelanjaan seorang antara RM1,178 dan RM1,779 bergantung kepada tempat penginapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Niwat berkata, pihaknya memantau penuh situasi dan keada­an selepas insiden letupan bom yang berlaku di Tak Bai itu.

Katanya, usaha memulihkan keyakinan pelancong asing terhadap keselamatan mereka menjadi tugas paling penting pada masa ini bagi memastikan sektor berkenaan terus bernafas.

“Sektor pelancongan dan eko­nomi hanya boleh maju apabi­la orang ramai berasa sela­mat dan yakin bahawa setiap perjalanan dan pergerakan mereka akan terjaga,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Dr. Sittipong Sittipattaraprapa, kecewa dengan keganasan ber­terusan di Selatan Thai.

Katanya, kejadian itu melibatkan rakyat asing sekali gus dibimbangi menjejaskan sektor ekonomi dan pelancongan termasuk di Wilayah Songkhla.

“Pihak berkuasa digesa meningkatkan kawalan terutama di kawasan tumpuan pelancong, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, khususnya yang membabitkan warganegara a­sing.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada pembatalan tempahan hotel oleh pelancong Malaysia yang melawat Daerah Hat Yai, dan Songkhla.

“Rakyat Malaysia faham bahawa Daerah Hat Yai dan Songkhla terletak jauh dari tiga wilayah selatan yang kerap berlaku konflik bersenjata.

“Kebanyakan pelancong yang da­tang ke Hat Yai dan Songkhla ma­suk melalui pintu sempadan di Bu­kit Kayu Hitam dan Padang Besar.

“Masalah sekarang adalah pelancong mungkin takut ma­suk melalui Sungai Golok atau Tak Bai kerana mereka melalui wilayah konflik,” katanya.

Isnin lalu dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki terkena letupan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN