NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa di sini merampas dua laras senjata perang jenis raifal M16 yang dipercayai digunakan dalam cubaan membunuh Ahli Parlimen Kawasan 5 Narathiwat, Kamonsak Leewamoh pada 20 Mac lalu.
Rampasan kedua-dua senjata perang itu dilakukan dalam serbuan berasingan di sebuah bengkel dan di Sungai Bang Nara di Daerah Takbai di sini, hasil risikan serta maklumat yang diperoleh.
Sumber keselamatan berkata, pemeriksaan lanjut di bengkel berkenaan turut menemukan sebuah pikap yang dileraikan dipercayai untuk menghilangkan bukti.
Katanya, rampasan itu hasil risikan dan sosl siasat terhadap seorang bekas anggota marin dan anaknya yang ditahan mengikut Dekri Darurat pada 30 Mac lalu.
“Pada awalnya bekas anggota marin berpangkat leftenan berusia 57 tahun itu tidak mengaku terlibat dalam serangan terhadap Kamonsak.
“Bagaimanapun, anak lelakinya yang berusia 23 tahun bekerjasama dengan memberi maklumat berkaitan individu yang bertemu bapanya sebelum kejadian itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut sumber, berikutan itu pada pukul 1 petang kelmarin, pasukan khas bersama Unit Pemusnah Bom dan pegawai forensik Wilayah Narathiwat menyerbu sebuah bengkel di Mukim Bang Khun Thong, Daerah Tak Bai dan merampas dua rafial M16 yang dipercayai digunakan dalam serangan terhadap Ahli Parlimen berkenaan.
Sumber itu berkata, pihak berkuasa menerima maklumat bahawa pikap yang digunakan dalam serangan terhadap Kamonsak dileraikan di sebuah gudang yang didirikan kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Bang Nara.
“Pemeriksaan di sekitar gudang itu menemukan pelbagai jenama kereta yang dileraikan. Mereka juga menemukan beberapa bahagian pikap putih empat pintu, sepadan dengan maklumat daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Pasukan penyiasat juga menemukan beberapa serpihan kecil kenderaan yang dibuang ke dalam sungai berkenaan. Ia dikumpul untuk siasatan forensik bagi menentukan sama ada ia milik pikap yang digunakan penyerang,” katanya.
Sumber itu berkata, beberapa individu lain turut ditahan susulan daripada operasi di bengkel berkenaan dan siasatan untuk mengenal pasti sejauh mana pembabitan mereka sedang dilakukan.
Katanya, pihak berkuasa turut mengesan dua lagi suspek iaitu Alawi, 24, dan Thanaphat, 41, bagi membantu siasatan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Kamonsak atau Wan Johan terselamat dalam cubaan bunuh di hadapan rumahnya di Mukim Bacho, Daerah Bacho.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang anggota polis yang juga sepupu Kamonsak, Sarjan Polis Harirak Heemmina, 43, dan pemandu, Uchalam Kohloh, 55, cedera parah terkena beberapa das tembakan. – UTUSAN










