BESUT: Tukang kebun dari Jetih, di sini tidak pernah terlepas memasang Jalur Gemilang di kereta Proton Saga Iswara Aeroback yang dibelinya sejak 20 tahun lalu sebagai cara menghargai kemerdekaan negara.
Wan Mustafa Wan Hasan, 60, membelanjakan kira-kira RM300 membeli peralatan dan bendera untuk menghiaskan kenderaan persendirian miliknya selain memperbaharui bendera yang sedia ada.
“Tahun ini dia memasang 68 batang bendera di bahagian bumbung dan bonet keretanya itu sempena sambutan kemerdekaan ke-68 tahun.
“Sejak beli kereta ini lebih 20 tahun lalu, saya tidak pernah biarkan ia kosong dan memastikan Jalur Gemilang sentiasa berkibar. Ini adalah cara saya untuk mengenang dan memperingati jasa-jasa tokoh serta perwira negara yang bersusah payah memperjuang kemerdekaan tanah air,” katanya.
Dia juga tidak pernah berasa malu mengibarkan bendera kebangsaan meskipun ada ‘suara-suara’ mengatakan dirinya terlalu obses sehingga setiap ruang keretanya dipenuhi bendera.
“Memasang bendera rutin wajib bagi saya sepanjang tahun dan setiap kali tibanya bulan kemerdekaan memberi semangat berkobar-kobar dalam diri saya,” katanya. – UTUSAN










