KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang membangunkan Pelan Induk Kereta Api Malaysia yang khusus dan komprehensif bagi memperkukuh serta memperkasakan pembangunan industri rel negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelan induk itu akan menjadi panduan utama bukan sahaja kepada semua pemain industri, malah kepada kerajaan dalam memastikan penyediaan peruntukan yang lebih optimum untuk pembangunan rel sedia ada dan juga pada masa hadapan.
“Ia adalah kerangka perancangan jangka panjang yang mampu menyelaras pembangunan rel negara agar lebih teratur, inklusif serta memenuhi keperluan masa depan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kesediaan Kementerian untuk mewujudkan Jajaran Rel Selangor menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang dan Pelabuhan Klang, selain menghidupkan semula kawasan Pantai Barat.
Siew Fook berkata, cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor telah dibentangkan kepada kementerian pada tahun 2024 dan maklum balas mengenai penambahbaikan juga telah diberikan kepada pihak perunding serta kerajaan negeri.
Katanya, selain faktor kos pembangunan, isu utama yang membelenggu projek infrastruktur rel ialah perancangan yang dibuat secara berasingan oleh pemilik projek masing-masing, tanpa kerangka penyelarasan menyeluruh.
“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak dalam merangka Pelan Induk Kereta Api Malaysia, supaya Jajaran Rel Selangor dapat diharmonikan dengan agenda pembangunan rel negara,” katanya. – UTUSAN










