KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bersedia menaikkan elaun guru takmir daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan serta menambah waktu bekerja dari sembilan jam kepada 12 jam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM72 juta yang melibatkan kenaikan lebih 33 peratus bagi 5,000 guru takmir di negara ini.
“Buat masa ini, kadar elaun tidak dinaikkan tetapi kerajaan menambah bilangan guru takmir daripada 4,000 kepada 5,000 orang yang berkhidmat di seluruh negara dan dilantik secara sambilan dengan bayaran dibuat mengikut jumlah kelas pengajaran.
“Kadar semasa RM100 bagi setiap kelas. Sebelum ini, maksimum tuntutan yang boleh dibuat adalah sebanyak RM800, tetapi kerajaan telah menaikkan kepada RM900.
“Doakan, moga-moga ekonomi dan pendapatan negara menjadi lebih baik, serta kerajaan boleh menaikkkan kadar elaun guru takmir,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai kesediaan kerajaan untuk menaikkan jumlah waktu bekerja 12 jam supaya guru takmir menerima kenaikan elaun RM1,200 sebulan serta mewujudkan satu skim bagi mereka mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Zulkifli berkata, kerajaan tidak bercadang menyediakan skim caruman KWSP dan Perkeso bagi guru takmir kerana golongan itu bukan berjawatan tetap atau berstatus kontrak.
Jelasnya, caruman hanya boleh dikenakan jika individu itu memenuhi takrifan pekerja mengikut Akta KWSP 1991.
“Untuk guru takmir, mereka bukanlah berjawatan tetap atau kontrak, tetapi dibayar mengikut perkhidmatan berdasarkan jumlah waktu kelas yang diajar,” katanya.
Seramai 4,752 guru takmir sedang berkhidmat di seluruh negara. – UTUSAN










