Kenaikan premium insurans perlu berasaskan data tuntutan

Kenaikan premium insurans perlu berasaskan data tuntutan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang pelarasan premium oleh syarikat insurans dan pengendali takaful hendaklah disokong oleh data tuntutan sebenar dan dilaksanakan secara berperingkat dengan telus serta berhemah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memantau amalan penetapan harga bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi dan kenaikan harga tidak melampau.

“Syarikat insurans dan pengendali takaful juga dikehendaki memberi pendedahan yang jelas mengenai skop perlindungan, pengecualian dan struktur manfaat yang diterima pemandu.

“Sekiranya terdapat isu yang tidak jelas atau amalan tidak adil, saluran aduan tersedia dan setiap aduan akan dinilai secara objektif di bawah kerangka perlindungan pengguna kewangan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berkenaan kawal selia kadar premium insurans bagi kenderaan e-hailing yang didapati terus meningkat setiap tahun.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, premium bagi kenderaan e-hailing mencerminkan ciri risiko yang hampir dengan penggunaan komersial berbanding penggunaan persendirian biasa kerana tempoh pemanduan lebih panjang, jarak perjalanan lebih tinggi dan pendedahan trafik lebih kerap.

“Ini menyumbang kepada kadar kemalangan dan kos tuntutan yang lebih tinggi, ditambah pula dengan peningkatan kos pembaikan dan kos buruh.

“Justeru, kos tuntutan bagi segmen ini adalah tinggi,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa kes melebihi premium dikutip lantas memerlukan pelarasan premium untuk menampung peningkatan kos tuntutan.

Beliau berkata, BNM bersama Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), syarikat insurans takaful dan industri e-hailing sedang meneliti penambahbaikan terhadap skop dan struktur perlindungan untuk jangka masa panjang.

“Ini termasuk potensi mekanisme perkongsian kos dengan pengendali platform serta penggunaan teknologi seperti telematics untuk menggalakkan pemanduan berhemat dan membolehkan penetapan premium yang lebih berasaskan risiko individu.

“BNM juga terus meningkatkan libat urus dengan pihak persatuan pemandu bagi memperkukuh kefahaman dan menambah baik amalan perlindungan dalam ekosistem e-hailing,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN