Semakin ramai batalkan polisi insurans peribadi?

Semakin ramai batalkan polisi insurans peribadi?

Polisi insurans
- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 34.6 peratus daripada 815 pemegang polisi insurans dilaporkan tidak lagi menganggap kemudahan pelan perubatan tidak lagi berbaloi untuk diteruskan susulan kenaikan premium.

Dapatan itu antara lain didorong oleh kemampuan kewangan semasa sebagai salah satu faktor utama untuk mempertimbangkan pembatalan polisi.

Tinjauan umum oleh Malaysian Healthcare & Insurance Survey 2026 mendapati, tahap kepuasan pemegang polisi juga didakwa semakin menurun apabila kewujudan masalah seperti tuntutan yang tidak diluluskan serta bayaran tambahan dikenakan ketika menerima rawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, tahap kepuasan menurun antara 33 hingga 37 peratus terutama dalam kalangan mereka yang membayar premium melebih RM300 sebulan.

Malah, 64.7 peratus responden mendakwa mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi membayar hospital terbaru selain terpaksa menanggung lebih 20 peratus daripada keseluruhan bil.

Masalah didakwa menjadi lebih serius apabila 71 peratus responden mendedahkan mereka perlu membayar kos tambahan bagi ubat yang diberikan kepada mereka berikutan tidak termasuk dalam polisi.

“Daripada jumlah itu, 284 responden berdepan masalah apabila ubat berjenama tidak dilindungi dan hanya ubat generik ditanggung, manakala 230 berkata tuntutan ubat ditolak selepas ia dikategorikan sebagai makanan tambahan.

“Seramai 225 responden pula berkata bekalan ubat yang diluluskan lebih pendek berbanding tempoh rawatan yang ditetapkan doktor,” katanya di sini, hari ini.

Tambah laporan tinjauan itu, hampir 30 peratus responden berkata mereka pernah mengalami tuntutan ditolak sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lalu.

“Daripada kumpulan itu, 24 peratus berkata alasan penolakan tuntutan tidak diterangkan dengan jelas. Kadar kelulusan tuntutan juga menunjukkan perbezaan mengikut jumlah premium.

“Bagi polisi dengan premium antara RM300 hingga RM500 sebulan, kadar kelulusan dilaporkan sebanyak 85.7 peratus, manakala bagi polisi melebihi RM500, kadar itu turun kepada 81 peratus,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat responden yang mendakwa hanya mengetahui beberapa perkhidmatan atau rawatan sebenarnya tidak dilindungi apabila membuat tuntutan atau menjelaskan bil.

Selain itu, Isu kelulusan surat jaminan (GL) turut menjadi perhatian apabila lebih separuh responden berkata mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hari bekerja, manakala 23.1 peratus menunggu lebih lima hari.

Kelewatan antara hospital dan syarikat insurans dilaporkan turut menyebabkan sebahagian pesakit terpaksa menangguhkan atau menjadualkan semula prosedur rawatan.

Lebih 340,000 polisi insurans perubatan dan takaful pula dilaporkan dibatalkan atau diserahkan antara Januari 2024 hingga Jun 2025, menunjukkan tekanan kos bukan lagi sekadar kebimbangan individu tetapi semakin menjadi isu lebih luas dalam akses kepada perlindungan kesihatan.

Bagi sebahagian pemegang polisi, persoalannya bukan lagi sekadar berapa tinggi premium yang perlu dibayar, tetapi sejauh mana perlindungan itu benar-benar dapat membantu apabila mereka atau ahli keluarga jatuh sakit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×