KUALA LUMPUR: Menjelang majlis pertunangan anak perempuannya, Norain Sofea pada 18 Julai ini, pengarah dan penerbit, Erma Fatima memilih untuk turun tangan sendiri menyiapkan gubahan hantaran serta dekorasi sebagai kenangan istimewa buat anaknya.
Bakal menerima menantu lelaki pertama dalam keluarga, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, mengakui teruja membuat persiapan bagi meraikan detik bermakna tersebut.
Menurut Erma, segala sentuhan yang diberikan pada majlis berkenaan dianggap sebagai hadiah terakhir daripadanya sebelum anak perempuannya melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.
“Pada 18 Julai ini, saya bakal menerima menantu lelaki pertama. Hantaran dan dekorasi semuanya saya buat sendiri kerana ini hadiah terakhir yang dapat saya berikan kepada anak sebagai kenangan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan drama Viu di Odeon Kuala Lumpur, semalam.
Biarpun Norain Sofea mempunyai cita rasa tersendiri sebagai generasi Z, Erma berkata, dia tetap mahu majlis yang dirancang berlangsung dengan mengetengahkan adat dan tradisi Melayu.
Baginya, adat warisan semakin dilupakan sehingga mendorongnya untuk memastikan anaknya melalui sendiri pengalaman tersebut secara menyeluruh.
“Memang dia ada pendapat sendiri sebab dia generasi Z. Tetapi saya beritahu, orang semakin lupa tentang adat Melayu.
“Jadi saya mahu dia ikut adat Melayu daripada A sampai Z sehingga selesai majlis. Kalau dia mahu buat mengikut selera sendiri, dia boleh buat selepas majlis yang saya rancang,” ujarnya.
Tidak sekadar pada dekorasi, Erma turut merancang pelbagai elemen tradisional termasuk majlis berinai, khatam al-Quran, mandi bunga, cukur jambul, berarak menggunakan tandu dan paluan kompang.
Dalam memastikan identiti Melayu benar-benar menyerlah, Erma juga menetapkan supaya anaknya mengenakan busana berasaskan songket dan bukannya gaun pengantin.
“Dia tidak boleh pakai gaun. Kalau mahu pakai gaun, buatlah di sebelah pihak lelaki. Untuk majlis saya, dia kena pakai songket dan ikut cara Melayu yang betul,” katanya.
Sebelum ini, Erma berkongsi rakaman video yang memperlihatkan dirinya mengunjungi premis menjual kelengkapan hantaran sebelum menyiapkan sendiri gubahan bagi majlis pertunangan anaknya.










