Parlimen tempat berbahas dengan bijaksana, bukan gelanggang `tinju politik’ - Dr. Maza - Utusan Malaysia

Parlimen tempat berbahas dengan bijaksana, bukan gelanggang `tinju politik’ – Dr. Maza

ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan bahawa rakyat memilih wakil mereka untuk berbahas dengan bijaksana di Parlimen, bukannya bertukar menjadi ‘petinju’ di gelanggang politik.

Mohd. Asri secara sinis juga mencadangkan agar satu bajet mungkin boleh diperuntukkan oleh kerajaan bagi membina gelanggang tinju bersebelahan Parlimen.

Bagi ahli Parlimen yang sudah tidak mampu membentangkan hujah dan hikmah atau berseni dalam penyampaian idea, mungkin boleh ke gelanggang tersebut, katanya.

Beliau berkata, Parlimen adalah pentas kebijaksanaan dan hikmah ahli-ahli politik dapat disaksikan oleh rakyat. 

“Maka, buktikanlah keupayaan anda bila menjadi Ahli Parlimen dengan hujah dan hikmah. Jika tidak, anda telah menduduki tempat yang anda tidak layak dan mengambil gaji apa yang anda tidak wajar menerimanya.

“Wakil rakyat dipilih kerana keupayaan mereka mewakili rakyat. Perkara terpenting adalah keupayaan mereka berhujah dan memberikan usul yang membina kebaikan negara atau negeri di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang mereka dilantik,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Asri berkata, di gelanggang tinju, mereka tidak perlu bercakap banyak sebaliknya perlu seni bertinju dengan kekuatan yang mencukupi untuk mengalahkan lawan. 

Katanya, ketika rakyat menonton siaran Parlimen, mereka ingin mendengar hujah dan hikmat serta seni dalam penyampaian idea. 

“Dan jika mereka ingin melihat pertarungan tenaga tumbukan dan sepakan, mereka akan pergi ke gelanggang tinju atau tomoi.

“Pun begitu, jika ahli-ahli Parlimen sudah gagal berhujah dan berhijrah serta mula berminat dengan tinju dan tomoi, sementara rakyat yang mereka wakili pun ingin melihat hal itu, satu bajet mungkin boleh diperuntukkan membina gelanggang tinju bersebelahan Parlimen. 

“Maka, bagi yang sudah tidak mampu membentangkan hujah dan hikmah atau berseni dalam penyampaian idea, mungkin boleh ke gelanggang tersebut dan mengosongkan Parlimen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN