KUALA LUMPUR: Prestasi syarikat air di Perlis, Kedah dan Kelantan kurang memuaskan dan tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkhidmatan dan prestasi syarikat air dari Pulau Pinang, Selangor dan Johor pula berada pada tahap terbaik.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, oleh tumpuan kini diberikan supaya syarikat-syarikat air di Perlis, Kedah dan Kelantan dapat mencapai KPI terbaik selepas ini.
“Jadi apa pun yang kita buat, sudah pasti kita memfokuskan kepada rakyat supaya kadar dinaikkan itu tidak membebankan khususnya pengguna domestik iaitu rakyat terbanyak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menyatakan mekanisme pemantauan dan audit ke atas hasil kutipan tambahan daripada pelarasan tarif air yang dijanjikan oleh syarikat operator air negeri.
Fadillah berkata, untuk memastikan perkhidmatan air dalam keadaan baik, kerajaan memperuntukan perbelanjaan modal sebanyak RM7.7 billion bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) dengan meluluskan 82 projek.
“Daripada 82 projek terlibat, 23 projek untuk kecukupan bekalan air, 20 projek untuk peningkatan kualiti air, 20 projek pengurangan kadar air tidak terhasil, 16 projek penambahbaikan sistem agihan dan lain-lain tiga projek,” katanya. – UTUSAN










