KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan agar semua ahli Parlimen tidak menggunakan perkataan yang mengelirukan atau tidak difahami seperti ‘mamba’.
Arahan itu dikeluarkan selepas berlaku pertikaman lidah di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berikutan penggunaan dialek Pantai Timur yang berunsur sindiran.
“Saya hendak buat ruling. Pertama, saya sendiri pun tidak faham perkataan ‘mamba’ itu.
“Kedua, ‘keras’ ke ‘tak keras’ saya pun tidak faham. Jangan guna lagi perkataan itu, saya tidak faham. Mungkin di kawasan Ahli Parlimen Hulu Terengganu orang faham,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh dengan penggunaan perkataan ‘mamba’ selepas Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) membangkitkan persoalan mengenai status enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama ada di blok kerajaan, pembangkang, atas pagar atau ‘mamba’.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kemudian bangkit mempersoalkan penggunaan perkataan tersebut yang dianggap tidak sopan digunakan di dalam Dewan Rakyat.
“Saya hendak merujuk perkataan ‘mamba’, halus, ‘tak keras’ yang digelar kepada enam ahli Parlimen pembangkang. Itu adalah perkataan yang kurang sopan,” katanya.
Teguran itu disambut sinis oleh Rasol yang mempersoalkan kepekaan Rayer terhadap istilah tersebut.
“Apalah Jelutong (RSN Rayer) ini, itupun sensitif,” celah Rosol.
“Kalau Hulu Terengganu digelar ‘mamba’, ‘tak keras’ boleh terima?” soal Rayer.
Situasi semakin tegang apabila Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin kemudian bangkit menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(4), memohon supaya perkataan ‘mamba’ ditarik balik kerana ia berunsur sindiran dan tidak wajar digunakan dalam Dewan Rakyat.
“Ini sindiran halus, jangan guna perkataan kurang sopan. Sila tarik balik perkataan ‘mamba’,” katanya. – UTUSAN










