KUALA LUMPUR: Sejumlah RM9.35 bilion bayaran balik lebihan cukai telah dibuat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga 30 Jun lalu, membabitkan seramai 3,013,911 pembayar cukai di seluruh negara.
Kementerian Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,076,503 pembayar cukai telah menerima bayaran balik sepenuhnya dengan nilai keseluruhan RM2.73 bilion.
Katanya, apa-apa lebihan bayaran cukai dan duti yang dikutip LHDN di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 serta Akta Setem 1949 perlu dibayar balik berdasarkan prosedur yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, lebihan cukai pendapatan bagi pembayar cukai individu diproses sepenuhnya dan bayaran balik dibuat dalam tempoh 30 hari bekerja selepas penghantaran borang melalui e-Filing manakala 90 hari bekerja bagi penghantaran secara pos atau serahan tangan.
“Tempoh bayaran balik ini tertakluk kepada maklumat yang lengkap dan betul dalam Borang Nyata Cukai serta semakan dokumen sokongan oleh LHDN jika diperlukan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH–Bagan) mengenai jumlah terkini lebihan cukai perniagaan yang masih belum dibayar balik oleh LHDN serta alasan mengapa proses tersebut mengambil masa sehingga lima tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.
Kementerian berkata, bagi bayaran balik cukai syarikat yang melibatkan jumlah lebih besar, proses dilakukan mengikut keutamaan dengan mendahulukan kes tunggakan lama bagi memastikan semua pembayar cukai menerima sekurang-kurangnya sebahagian bayaran balik pada tahun semasa.
Sehubungan itu, LHDN komited memperkukuh pengurusan bayaran balik cukai dengan mengguna pakai strategi yang lebih adil dan saksama termasuk mengutamakan konsep First In First Out (tunggakan lama didahulukan) dan mengagihkan bayaran secara seimbang berdasarkan usia tunggakan.
“Selain itu, membuat bayaran penuh bagi kategori individu dan menyalurkan bayaran kepada semua pembayar cukai mengikut amaun ditetapkan,” katanya. – UTUSAN