Warga Malaysia ulang-alik Singapura tidak layak STR

Warga Malaysia ulang-alik Singapura tidak layak STR

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura hanya layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya memenuhi syarat kelayakan ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk menetap di dalam negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, individu yang keluar dan masuk Singapura lapan kali atau lebih setiap bulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara dengan andaian individu berkenaan berulang-alik secara mingguan.

“Ia sebenarnya bukan dibatalkan, sebaliknya berstatus ‘Tidak Lulus’ di bawah Kod Alasan 31 iaitu pemohon atau pasangan didapati menetap, bekerja atau mengikuti pengajian di luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Chin Tong berkata, kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan yang timbul susulan isu kelayakan STR yang didakwa dibatalkan bagi warganegara yang kerap keluar masuk Singapura.

Katanya, bagi membezakan urusan sementara dengan keadaan menetap atau bekerja di luar negara, LHDN menilai kekerapan pergerakan keluar masuk negara berdasarkan pendekatan yang telah ditetapkan.

“Pergerakan antara satu hingga tujuh kali sebulan masih dianggap munasabah dan lazimnya melibatkan urusan sementara seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.

“Namun, pergerakan lapan kali dan ke atas sebulan ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara,” katanya.

Tambah beliau, STR merupakan bantuan tunai bersasar kerajaan di bawah semangat ‘kita jaga kita’ yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia.

Katanya, kerajaan bertanggungjawab memastikan agihan bantuan itu dilaksanakan secara adil kerana ia melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai.

“Bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima STR, semakan dibuat melalui integrasi data pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)bagi tujuan pengesahan maklumat pemohon.

“Warganegara Malaysia yang terkesan dinasihatkan supaya mengemukakan rayuan yang dibuka sepanjang tahun 2026. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap maklum balas rakyat dan terbuka mempertimbangkan rayuan.

“Sebagai contoh, terdapat warganegara Malaysia yang perlu kerap keluar masuk Singapura kerana bekerja sebagai pemandu syarikat logistik tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN