Pelaksanaan sistem e-invois bantu tingkat pematuhan cukai

Pelaksanaan sistem e-invois bantu tingkat pematuhan cukai

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang melaksanakan inisiatif e-Invois secara berfasa bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pelaksanaan e-Invois adalah selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Kedua Belas yang menekankan pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai.

Menurutnya, sistem e-Invois memberi manfaat kepada perniagaan melalui peningkatan kecekapan operasi, pengurangan proses manual dan kesilapan, serta memudahkan pengemukaan borang nyata cukai. Secara tidak langsung, inisiatif ini turut meningkatkan tahap pematuhan cukai.

“Pelaksanaan e-Invois masih lagi di peringkat awal memandangkan kerajaan memberi tempoh peralihan enam bulan bagi setiap fasa supaya perniagaan bersedia sepenuhnya untuk mengeluarkan e-Invois.

“Sehingga 21 November 2025, seramai 108,000 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois, termasuk 64,317 secara mandatori dan 44,000 secara sukarela. Setakat ini, sebanyak 735 juta e-Invois berjaya dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan mengenai tahap pelaksanaan sistem e-Invois setakat ini serta keberkesanannya dalam meningkatkan pematuhan cukai.

Hui Ying berkata, bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menghadapi cabaran adaptasi, kerajaan memperkenalkan pelaksanaan secara berfasa.

“Fasa keempat akan bermula 1 Januari 2026 melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, manakala fasa kelima bermula 1 Julai 2026 bagi perniagaan dengan jualan tahunan RM500,000 hingga RM1 juta,” katanya.

Beliau menambah, peniaga kecil dengan jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois bagi mengurangkan beban kos latihan dan penambahbaikan sistem.

Bagi menggalakkan penglibatan PMKS selaras dengan aspirasi pendigitalan perniagaan, LHDN turut menyediakan Portal MyInvois dan aplikasi mudah alih MyInvois secara percuma. Sistem MyInvois e-POS juga membolehkan penjual mengeluarkan e-Invois secara langsung semasa transaksi.

“Selain itu, LHDN sentiasa menjalankan program kesedaran, sesi libat urus, tutorial bimbingan dan panduan pengguna di seluruh negara bagi membantu peniaga kecil dan PMKS menguasai penggunaan sistem e-Invois,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×