PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion sehingga 31 Disember tahun lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah itu lebihan RM8.93 bilion berbanding unjuran hasil awal tahun sebanyak RM67.25 bilion.
Beliau berkata, sebagai perbandingan hasil tahunan, kutipan hasil bagi tahun 2024 berjumlah RM65.57 bilion, manakala tahun lalu jumlah tersebut meningkat kepada RM76.18 bilion.
Menurutnya, peningkatan itu mencatatkan pertambahan kutipan hasil sebanyak RM10.61 bilion, bersamaan dengan kenaikan 16.18 peratus.
“Pada 2022, JKDM merekodkan kutipan hasil sebanyak RM52.93 bilion. Prestasi ini seterusnya meningkat pada 2023 kepada RM55.17 bilion, iaitu pertambahan sebanyak RM2.24 bilion atau 4.23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Momentum pertumbuhan ini diperkukuh pada 2024 apabila kutipan hasil melonjak ketara kepada RM65.57 bilion, dengan pertambahan sebanyak RM10.40 bilion bersamaan 18.85 peratus, berbanding 2023.
“Trend peningkatan berimpak tinggi ini diteruskan pada 2025, apabila kutipan hasil mencatatkan paras tertinggi iaitu RM76.18 bilion, dengan peningkatan sebanyak RM10.61 bilion atau 16.18 peratus berbanding 2024,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini, semalam.
Beliau berkata, secara keseluruhan, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan dua tahun berturut-turut melebihi RM10 bilion secara konsisten bagi tempoh 2024 dan 2025, sekali gus menzahirkan keberkesanan pendekatan strategik
JKDM dalam memperkukuh pematuhan cukai, penguatkuasaan dan pemudahcaraan perdagangan secara menyeluruh.
Ditanya mengenai sasaran kutipan hasil bagi tahun 2026, Anis Rizana memaklumkan perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan pihak Kementerian Kewangan.
Anis Rizana berkata, sebanyak 7,097 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai berjaya dipatahkan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan, termasuk barangan bercukai dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.88 bilion.
“Pencapaian ini merekodkan peningkatan ketara sebanyak 15.33 peratus, bersamaan RM250.71 juta, berbanding RM1.63 bilion pada 2024.
“Prestasi ini mencerminkan keupayaan dan ketegasan JKDM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan sekali gus melindungi hasil negara serta mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, antara barangan utama yang dirampas melibatkan 2,472 kes rampasan rokok bernilai RM497.27 juta, 920 kes rampasan minuman keras (RM128.46 juta), 734 kes rampasan dadah (RM490.75 juta), 516 kes rampasan kenderaan (RM190.27 juta) serta rampasan mercun dan bunga api bernilai RM22.69 juta. – UTUSAN










