KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,127 projek sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan 135,000 pembeli di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, setakat 30 Jun tahun ini, sebanyak 233 projek lewat dan 360 projek sakit dikenalpasti di seluruh negara oleh Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 260 projek sakit telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan 14 lagi sudah bertukar status menjdi projek lancar melibatkan 25,822 unit rumah.
“Baru-baru ini, KPKT juga berjaya memulihkan projek Residensi Hektar Gombak melibatkan 2,400 unit kediaman mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (Rumawip) yang dibangukan pada 2018 namun gagal disiapkan pada 2022 seperti dijanjikan.
“KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) memperolehi suntikan dana baharu membabitkan RM125 juta untuk menyambun semula pembinaan walaupun projek ini di bawah seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Ini merupakan satu usaha proaktif KPKT ke arah pemulihan projek yang tertangguh dan menyusahkan rakyat,” katanya katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH- Kota Melaka) yang mintanya menyatakan adakah ahli lembaga pengarah syarikat pemaju termasuk membabitkan projek komersial untuk disenaraihitamkan sekiranya syarikat subsidiari mereka terlibat dalam projek sakit dan sejauh mana keberkesanan tindakan tersebut.
Menjawab persoalan itu, Kor Ming berkata, apabila sesuatu projek disahkan sakit atau terbengkalai, KPKT akan mengambil langkah proaktif dengan menyenaraihitam pemaju serta ahli lembaga pengarahnya yang terlibat.
Katanya, lanjutan daripada itu, semua syarikat lain yang mempunyai ahli lembaga pengarah sama turut disekat daripada memohon lesen pemaju baharu dan akaun pemaju perumahan sedia ada turut disekat.
“Tetapi KPKT menyedari kekangan peruntukan perundangan sedia ada, justeru kementerian sedang meneliti cadangan pindaan Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966) untuk memperluaskan skop meliputi projek komersial.
“Cadangan itu akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan lebih berkesan termasuk menyenaraihitam ahli lembaga pengarah syarikat pemaju induk dan subsidarinya.
“Cadangan ini diharap dapat memperkukuhkan tindakan dan kawalan lebih baik bagi pencegahan awal supaya mengelakkan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai. Pada masa sama, pindaan ini akan dipastikan relevan, menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN










