KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan agar tidak bersikap double standard atau pilih kasih terhadap isu kontroversi sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson memasang bendera terbalik baru-baru ini.
Ini kerana jelasnya, kesalahan tersebut sebelum ini turut dilakukan oleh sebuah kementerian, sekali gus tindakan yang sama harus dikenakan terhadap kementerian berkenaan sekiranya SJKC tersebut diambil tindakan.
“Sememangnya Kementerian Pendidikan telah berusaha menjalankan reformasi dan ikhtiarnya harus diberikan sokongan dan galakan. Saya harap pihak Kementerian boleh menangani isu memasang bendera Malaysia secara terbalik dengan baik oleh sebuah SJKC di Port Dickson.
“Kalau Kementerian Pendidikan ingin hukum SJKC ini, pastikan hukuman yang sama juga dikenakan ke atas kementerian yang melakukan kesilapan serupa agar mengelakkan wujudnya double-standard atau antara dua darjat,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SJKC Chung Hua memohon maaf kepada seluruh masyarakat kerana kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah terbabit pada 1 Ogos lalu.
Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dalam kenyataan mereka turut menyatakan kekesalan atas insiden tersebut dan memaklumkan bahawa kesilapan telah pun dibetulkan. – UTUSAN










