PARLIMEN: Dewan bertukar hening saat doa untuk Zara Qairina

PARLIMEN: Dewan bertukar hening saat doa untuk Zara Qairina

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan di Dewan Rakyat berhubung isu buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir berakhir dengan bacaan doa dipimpin oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.

Doa tersebut dibacakan selepas enam ahli Parlimen mengambil perbahasan isu berkenaan yang disifatkan sebagai tragedi besar sehingga meragut nyawa mangsa berusia 13 tahun itu.

Saifuddin dalam doanya memohon agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman selain mendoakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.

Katanya, kejadian menimpa Zara Qairina perlu dijadikan pengajaran bahawa gejala buli bukanlah perkara kecil kerana ia mampu meragut masa depan dan nyawa anak-anak.

“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempat tinggalnya, lapangkanlah kuburnya, mandikanlah dia dengan air, salji dan embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kotoran.

“Gantikanlah rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, pasangan yang lebih baik.

“Masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia daripada azab kubur dan azab api neraka,” katanya.

Suasana dewan ketika itu bertukar hening dengan semua ahli Parlimen tanpa mengira sama blok kerajaan dan pembangkang mengaminkan doa yang dipimpin Saifuddin.

Selepas doa selesai, persidangan diteruskan dengan aturan urusan mesyuarat seperti yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN